Berpuasa pada bulan ramadhan merupakan satu daripada kewajipan agama Islam. Kebanyakan agama dan ajaran didunia ini mengharuskan atau mewajibkan umatnya supaya berpuasa. Kaedah berpuasa mungkin berbeza mengikut agama, tradisi, bangsa dan budaya. Tetapi tujuan utama berpuasa tetap sama, iaitu supaya melatih dan mengawal badan dan minda; dan membersihkan badan. Pada masa yang sama menunaikan perintah Tuhan.
Pada bulan ramadhan umat Islam berpuasa daripada matahari terbit sehingga ke matahari terbenam. Dalam tempoh tersebut umatnya tidak akan makan atau minum, dan juga mereka perlu menjaga tingkah laku, aurat dan perasaan mereka. Kelonggaran diberikan kepada kanak-kanak, pesakit, orang kurang upaya, orang kurang siuman, orang yang sedang berada dalam perjalanan jauh dan orang tua yang uzur; mereka tidak wajib berpuasa tetapi digalakkan.
Dalam agama Hindu dan Buddha pula mereka berpuasa dari pagi hingga ke malam. Sepanjang masa itu mereka tidak boleh makan atau minum, kecuali terlalu lapar atau dahaga sehingga tidak larat. Agama tersebut beri kelonggaran kepada orang tua dan kanak-kanak. Orang tua, kanak-kanak, orang yang uzur dan orang yang berpenyakit boleh makan buah-buahan, minum air atau susu sekali sehari.
Kita makan dan minum untuk memperolehi zat, vitamin, mineral dan sebagainya; supaya badan kita lebih cergas dan sihat. Adakah kita lebih cergas selepas makan? Cuba fikirkan. Tidak bukan! sebaliknya ramai yang akan menjadi lembap, malas atau mengantuk. Khususnya orang yang berumur 30’an dan keatas.
Jika anda memperhatikan dengan teliti; anda akan faham bahawa badan anda akan lebih cergas semasa berperut kosong berbanding dengan perut yang kenyang. Sebab inilah kebanyakan agama menentukan sebuah tempoh untuk berpuasa, supaya badan kita lebih cergas dan sihat. Pada masa yang sama supaya memberikan peluang kepada badan untuk membersihkan perut, usus dan darah.
Seorang manusia hanya akan mencari keindahan dunia atau membuat sesuatu untuk memuaskan nafsunya setelah perutnya kenyang. Oleh itu salah satu tujuan berpuasa ialah membantu manusia untuk mengawal nafsunya. Apabila seorang dapat melatih dan mengawal nafsunya untuk sebuah tempoh masa yang panjang. Mudahlah baginya untuk mengawal nafsunya selepas itu dan selama-lamanya. Sebab inilah Islam dan agama-agama lain mewajibkan pengikutnya supaya berpuasa. Dari sudut yang lain pula berpuasa akan memberikan peluang kepada kita untuk memahami penderitaan orang-orang miskin; dan meningkatkan amalan menyedekah.
Leave feedback about this