Apa yang dimaksudkan dengan makhluk halus? Makhluk apa yang digelar makhluk halus sebenarnya? Adakah ia hantu? jin? syaitan? bunian? roh? makhluk-makhluk dari planet lain? atau sesuatu yang lain dari diatas?
Orang-orang yang mengakui bahawa telah terserempak dengan makhluk halus akan menceritakan bahawa mereka terlihat bayang-bayang putih, bayang-bayang hitam; cahaya, api, atau asap yang melayang; dan sebagainya. Ada juga yang akan mengakui bahawa mereka telah terserempak dengan rupa manusia tanpa kepala, bayangan manusia yang telah meninggal dunia, rupa bentuk wanita yang sedang mendukung bayi, rupa bentuk toyol, bunian, dan beberapa jenis yang lain.
Manusia tidak hidup persendirian didunia ini, pelbagai jenis makhluk sedang hidup bersama mereka; ada yang hidup diatas muka bumi, dibawah muka bumi, didalam air, di angin dan sebagainya. Ada makhluk yang dapat manusia melihat dengan mata kasar dan ada makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Contohnya: Walaupun kita sedar kewujudan bakteria dan virus kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar.
Pada pendapat peribadi saya perkataan makhluk halus merangkumi sejenis makhluk yang sedang hidup didunia ini sama seperti manusia, binatang, burung, ikan, serangga dan lain-lain. Oleh kerana ketajaman dan penglihatan mata yang terhad, manusia tidak dapat melihat kewujudan makhluk-makhluk tersebut. Makhluk halus sedang hidup di angin dan api.
Manusia berupaya untuk menyedari kewujudannya, dan tetapi tidak berupaya untuk melihatnya dengan mata kasar. Oleh itu mereka mula menghayalkan pelbagai jenis rupa bentuk untuk menggambarkannya dan disenaraikan sebagai hantu dan makhluk-makhluk halus yang lain. Pada pendapat saya perkataan jin digunakan untuk ditujukan kepada sekelompok makhluk yang hidup di api dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.